Friday, July 25, 2008

Penghinaan DBKL terhadap warga kota

Penghinaan DBKL terhadap warga kota
Adnan Ibrahim | Foto Nasir Sudin
Fri | Jul 25, 08 | 12:39:41 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 (Hrkh) - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghantar jengkaut di Majlis Gotong Royong Kampung Padang Balang, Gombak di sini, dianggap penduduk sebagai penghinaan kepada mereka dalam masa warga kota membantah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya. Iklan



Pengerusi Majlis Permuafakatan Kampung Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat), Ishak Surin berkata, Muafakat meminta pihak DBKL turun sama ada menghantar pegawai di majlis gotong royong tersebut untuk menyerahkan memorandum penduduk Kampung Padang Balang.

"Kita amat terkilan kerana mengikut maklumat apa yang diminta lain yang diberi. Kita minta pihak DBKL turun atau mana-mana pegawai cawangannya tetapi mereka hantar jengkaut. Ini seolah hendak menghina kita," ujarnya ketika berucap di majlis tersebut, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahli Parliman Batu Tian Chua bersama Ahli Parlimen di Kuala Lumpur akan mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' AB Hakim Borham meletak jawatan sekiranya beliau tidak mahu menerima memorandum bantahan terhadap Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap DBKL yang tidak turun di dua tempat melibatkan penduduk warga kota iaitu di Taman Rainbow, Sentul dan Kampung Padang Balang pada hari yang sama.

"Saya rasa hari ini sahaja dua kejadian kecuaian besar (DBKL) kerana tidak ambil berat dan tidak hargai insentif penduduk.

"Sebelum ini, saya di Taman Rainbow bersama penduduk yang menunggu sejak pukul 8.00 hingga 9.30 pagi kerana protes tempat letak kereta yang menyusahkan orang ramai untuk sembahyang tetapi DBKL tidak datang sebaliknya yang datang satu lori menghalau orang berkumpul. Bila saya sampai di sini (Kampung Padang Balang) juga dapat berita yang sama," ujarnya.

Beliau menambah, sebelum ini pihak DBKL bersetuju memberi perbelanjaan kepada penduduk untuk diadakan sedikit jamuan dalam program gotong royong dengan syarat tidak melalui Ahli Parlimen sebaliknya sampai sekarang peruntukan tersebut tidak diberi kepada setiap kawasan parlimen.

"Sepatutnya DBKL melayan dengan baik penduduk warga kota dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bersedia mendengar respons mereka," ujarnya.

Ketika berucap di majlis tersebut, beliau memuji sikap penduduk yang mengambil insentif dan tanggung jawab bersama menjaga kepentingan kampung di samping berterima kasih kepada jabatan serta unit kerajaan yang hadir menjayakan program tersebut bagaimanapun ia kurang sempurna tanpa sumbangan DBKL.

Mengenai Draf Kuala Lumpur 2020, beliau menyifatkan draf yang boleh mempengaruhi pembangunan Kuala Lumpur itu tidak perlu dilulus dan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian dan perundingan dengan penduduk warga kota terutama mereka yang terbabit.

Ini kerana kata beliau pelan tersebut boleh memberi kesan dan perubahan besar terutama agama, budaya serta pengstrukturan warga kota sekarang dan pada masa 20 tahun akan datang kepada anak cucu mereka.

"Kita dapati pelan ini ada banyak kelemahan secara umum kerana kurang mengambil kepentingan keperluan penduduk sebaliknya seolah-olah cuba merancangkan Kuala Lumpur hanya untuk kekayaan pemaju sahaja.

"Kita lihat banyak kawasan yang dibangunkan tetapi dari segi penduduk ia amat membimbangkan kerana ramai yang terjejas terutama perkampungan tradisi Melayu yang wujud di Kuala Lumpur," ujarnya.

Selain itu kata beliau, perancangan bandar jarang memperhatikan dan tidak mengambil kira faktor budaya, sejarah agama dan semangat kekampungan.

"Kita akan ajukan perkara ini kepada DBKL. Saya amat prihatin dan berikrar akan mempertahankan tradisi kampung dan akan memastikan warisan ini tidak dikebumi. Pembangunan tidak harus korbankan faktor tersebut dan ia tidak boleh diukur dengan kebendaan dan wang. Mari kita pertahankan warisan kita supaya anak cucu kita tidak lupa asal mereka," katanya. - mns_

Sunday, July 20, 2008

Majlis Gotong Royong Kg. Warisan Padang Balang

Majlis Gotong Royong Kg. Warisan Padang Balang telah diadakan pada hari Ahad 20 Julai 2008. Majlis dimulakan pada pukul 9.00 pagi bertempat di Sekolah Rendah Agama Saidina Ali.









Tuesday, July 1, 2008

Tanah rizab Melayu mesti dipertahankan - Tian

Sumber Dari Parti KeADILan Rakyat Bahagian Batu
Wakil Rakyat Parlimen Batu - Tian Chua telah mengadakan Majlis Dialog Bersama Penduduk Padang Balang pada 25 Mei lalu bertempat di TASKI Pdg. Balang. Beliau menyeru penduduk mempertahankan tradisi kampung serta kedaulatan tanah rizab Melayu dengan mewujudkan satu mekanisme dengan tujuan agar segala keputusan berkenaan hak mereka membuahkan bersetujuan bersama.
Beliau juga mengingatkan penduduk Padang Balang agar menyemak Draf Pembangunan KL 2020, yang mana Kampung Padang Balang bakal terlibat dalam pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT). Draf ini dibuka sekarang untuk sebarang bantahan sehingga akhir Ogos ini.more

Monday, June 30, 2008

Sumber : Harakahdaily.net

Penduduk bantah pelan bandar raya 2020, musnah pendidikan Islam
Adnan Ibrahim Mon Jun 30, 08 12:20:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Penduduk Kampung Padang Balang membantah draf pelan bandar raya Kuala Lumpur 2020 kerana tidak mengikut justifikasi tertentu terutama melebelkan kampung tersebut sebagai setinggan dan rumah usang serta terdapat motif menghancurkan pusat hafazan al-Quran, Darul Furqan.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Saidina Ali Kampung Padang Balang, Zainal Abdidn Maas mendakwa seolah-olah terdapat perancangan tertentu memusnahkan 100 peratus pusat pendidikan Islam di kampung tersebut dengan pembinaan stesen pertukaran transit aliran ringan (LRT) di situ.
"Mengikut pelan tersebut sekolah Darul Furqan habis lenyap kerana dibina stesen transit LRT Star yang pecah kepada tiga laluan lagi. Stesen di sini tidak masuk akal kerana jaraknya yang dekat tidak sampai satu kilometer terdapat tiga stesen LRT," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan berhubung pelan tersebut di majlis perjumpaan yang dihadiri hampir 500 orang penduduk Kampung Padang Balang di Masjid Saidina Ali di sini semalam.
Menurut beliau, penduduk juga mempertikaikan draf pelan itu yang menyatakan taraf penduduk Kampung Padang Balang sebagai setinggan dan rumah usang.
"Sedangkan kita ada geran tanah warna merah. Kita juga dibayar pampasan hanya RM7 sekaki persegi. Kalau ikut nilai semasa ada yang jual tidak kurang RM22 sekaki persegi," katanya.
Beliau mewakili jawatankuasa masjid bergabung dengan majlis bertindak penduduk bagi Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak dan Kampung Puah dalam satu majlis permaufakatan.
Ketiga kampung tersebut bertaraf Tanah Rizab Melayu dan hanya di antara baki-baki tanah berstatus tersebut yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kerana kerajaan tidak menganti balik rizab Melayu yang telah diambil mengikut keluasan yang sama.
Mengikut Akta Tanah, pihak berkuasa hendaklah mengganti semula dengan keluasan yang sama Tanah Rizab Melayu yang diambil supaya hak keistimewaan tanah tersebut tidak hilang.
Kampung tersebut dibuka sejak 1940-an lagi dan sudah sepatutnya diberi kelayakan dan setaraf Kampung Baru di Kuala Lumpur. Ia juga layak diisytihar kampung warisan, katanya.
Sepatutnya pembangunan melibatkan kampung tersebut mengambil kira pandangan penduduk yang telah lama menetap di situ. Sebaliknya draf pelan yang dibuat itu langsung tidak berbincang dengan penduduk kampung terlebih dahulu, sambungnya. - mns _